Sekitar Mesyuarat Agong PBTM Kubang Pasu

Persatuan Bekas Tentera  Malaysia (PBTM) Cawangan Kubang Pasu Kedah telah mengadakan Mesyuarat Agong Kali ke 27 pada 19 Mei 2012 lalu dengan jayanya dengan kehadiran ahli-ahli seramai lebih daripada 300 orang.  Meski pun jumlah ini belum pun mencecah suku daripada jumlah keahlian sebenar, namun  perjumpaan ini boleh dianggap berjaya kerana jumlah kehadiran telah memenuhi ruang  Dewan Mahsuri Taman Siswa Bandar Darul Aman  Jitra.

Mesyuarat Agong ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Wira Mohd Johari bin Haji Baharom,  Timbalan Menteri  Pertanian dan Industri  Asas Tani.

Dalam ucapan perasmian, beliau menggalakkan semua veteran tentera mengemukakan segala masalah yang mana kementerian beliau mempunyai kaedah tertentu untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan.  Beliau juga  memberi jaminan akan memanjangkan kepada agensi-agensi yang berkaitan jika ianya tidak ada kaitan dengan kementeriannya  kerana beliau sedar pengorbanan veteran tentera cukup tinggi dalam menyediakan keamanan negara seperti yang dikecapi hari ini.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan Pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu yang akan menerajui PBTM Cawangan ini untuk sesi 2012-2015. Namun begitu  Ketua Cawangan Kapt  Yusof bin Hj Yaacob merangkap  YDP PBTM Bahagian Negeri Kedah kekal kerana tiada pencabar.

Dato’ Jo rakan akrab PBTM Kubang Pasu

Masih diberi mandat untuk menerajui Persatuan bagi sesi seterusnya

Haji Ahmad pengacara yang suka berpantun

En Hariff Nor menceritakan produk RHB yang boleh dimanfaatkan oleh Veteran tentera.

Tn Hj Saad Hasan mengisi slot PERHEBAT

Kehadiran yang tidak mengecewakan

Serikandi PBTM Kubang Pasu

Dato Jo menyampaikan cek sumbangan peribadi beliau untuk PBTM

Mesyuarat Agong PBTM Kubang Pasu ke 27

Dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut akan diadakan pada 19 Mei 2012 jam 0800H bertempat di Dewan Mahsuri, Taman Siswa, bandar Darul Aman Jitra Kedah.

Semua Ahli dijemput hadir.  Sila bawa bersama kad ahli untuk pendaftaran.

STRATEGI MENINGKATKAN KUALITI HIDUP VETERAN ATM

Oleh: Hamzah hd.

Dalam konteks pertahanan negara, anggota  ATM merupakan benteng utama barisan hadapan yang ‘mengabdikan’ seluruh jiwa dan raga bagi tujuan mempertahankan kedaulatan negara dari diceroboh oleh segala anasir sepanjang perkhidmatan mereka samada dalam tempoh jangka pendek atau sehingga ke penghujung perkhidmatan. Selepas tamat tempoh perkhidmatan sebenar, mereka-mereka ini masih bersiaga di barisan kedua sebagai anggota Simpanan Tetap sehingga kepada sesuatu tempoh tertentu. 

Meskipun mereka-mereka ini bergelar bekas tentera namun slogan perjuangan masih diguna pakai bersesuaian dengan perjuangan semasa mereka.  Bagi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), slogan ‘Sentiasa Berjuang’ menjadi teras kepada kesinambungan penjuangan masa lalu namun di alam persaraan ini perjuangan masih diteruskan bagi menentukan kesinambungan kuasa pemerintahan yang boleh menjamin kesejahteraan negara di samping perjuangan memartabatkan jasa dan pengorbanan bekas-bekas pejuang dalam konteks menagih keselesaan dan kesempurnaan bagi mengisi ruang kehidupan yang berbaki.

Perjuangan PBTM dalam memperkasakan ekonomi  bekas tentera sebenarnya telah melalui pelbagai fasa dan strategi semenjak di awal penubuhannya lagi.  Pada awalnya wawasan PBTM memperjuangkan bagi  merealisasikan 1Bekas Tentera dengan 1kemahiran dan 1kebajikan bagi setiap isi rumah. 

Wawasan ini dianggap selesai setelah kerajaan mengambil alih peranan ini melalui Pelan Transformasi Kerajaan bagi menjadikan seluruh rakyat negara ini berpendapatan tinggi menjelang negara maju 2020.  Walaubagaimana pun, gagasan baru PBTM tercipta mulai 10.10.2010 iaitu Menyatu, Mengukuh dan Memperkasa bekas tentera adalah merupakan nilai tambah bagi mendorong kepada pencapaian gagasan 1Malaysia dalam memastikan pengukuhan sistem ekonomi  dan menjaga kebajikan bekas-bekas tentera secara konsisten walaupun tiada statistik pencapaian yang jelas bagi mengukur keberhasilan usahanya selama ini.

Berkat kesungguhan, kesabaran dan konsistensi akhirnya dapat meyakinkan kerajaan betapa penting dan perlunya veteran ATM ini diberi ‘perlindungan’ sejajar dengan jasa dan pengorbanan mereka yang memangkin kepada keberhasilan negara dalam semua sektor hasil dari keamanan yang dicetus oleh ATM.  Keamanan dan kemakmuran yang dikecapi oleh negara pada hari ini bukan datang dengan sendiri sebaliknya ada pejuang-pejuang yang memperjuangkannya yakni bekas-bekas tentera adalah pejuangnya.

Meningkat Sosio Ekonomi Bekas Tentera

Ramai orang bertanya kenapa kehidupan bekas-bekas tentera agak susah bila memasuki alam persaraan.  Jawapannya ialah anggota tentera berpencen di antara umur 40 hingga 43 tahun yang mana waktu itu anak-anak sedang membesar dan sedang belajar dalam pelbagai peringkat akademik.  Di kala itu juga masih ada hutang-hutang yang berbaki seperti pinjaman perumahan, kenderaan dan sebaginya yang perlu dilunasi dengan wang pencen yang sudah tinggal separuh. Berbeza dengan penjawat awam yang bersara sekurang-kurangnya ketika umur 56 tahun yang mana kebanyakan anak-anak sudah tamat belajar malah ada yang sudah bekerja dan segala keperluan asas sempat dibeli dan dilunasi semasa bergaji penuh.  Oleh kerana itu jika seseorang bekas tentera gagal mendapat pekerjaan bagi menampung kekurangan dalam sistem ekonomi keluarga mereka, maka kualiti hidup golongan ini ‘kelihatan’ terjejas.

Dalam usaha menentukan  bekas-bekas tentera boleh berdikari, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) ditubuhkan pada tahun 1994. Pada 2002 peranan PERHEBAT telah disusun semula di mana perbadanan ini hanya berfungsi sebagai pusat latihan kepada bakal-bakal pesara tentera dan bekas-bekas tentera iaitu sebuah training arm. Peranan-peranan lain seperti program kebajikan, penempatan kerjaya kepada bekas-bekas tentera diambilalih oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Penubuhan JHEV di bawah Kementerian Pertahanan pada tahun 2000 selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berperanan sebagai One Stop Centre kepada bekas-bekas tentera. JHEV bertanggungjawab kepada veteran ini mencakupi semua aspek kebajikan dengan menyediakan tempat-tempat latihan kemahiran dan pengembangan ilmu kemahiran dan keusahawanan secara percuma supaya boleh berdikari mencari sumber pendapatan bagi menampung keperluan hidup.

Lebih kurang RM32 juta setahun kerajaan telah memperuntukkan kewangan kepada PERHEBAT khusus untuk pembangunan latihan kemahiran, keusahawanan dan lain-lain bantuan yang diperlukan bagi melengkapkan diri bersaing dalam pasaran pekerjaan dan keusahawanan bersama masyarakat umum.  Dalam usaha memberi kemudahan mengikuti kursus-kursus dalam tempoh masa yang panjang, PERHEBAT juga menaja bakal-bakal pesara malah juga bekas tentera yang sudah lama menamatkan perkhidmatan,  memilih  pusat-pusat kemahiran seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Giat Mara yang berada di kawasan penempatan masing-masing untuk menimba ilmu kemahiran.

Dalam pembentangan Bajet 2012, beberapa insentif telah diumumkan oleh Perdana Menteri khusus untuk bekas-bekas tentera:

-          Bantuan RM50 Juta  kepada seramai 175,000 anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan  kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen yang mana sebahagian daripada mereka menghadapi kesukaran untuk menampung kos sara hidup.   Bantuan diberi bertujuan menyediakan program latihan khusus untuk mereka meningkatkan pendapatan selaras dengan dasar kerajaan melalui model ekonomi baru ( MEB).

-          Kenaikan Pencen Pesara ATM sebanyak 8% berkuatkuasa mulai bulan Feb 2012 dan kenaikan  2% pada tahun-tahun berikutnya.

Justeru dalam usaha mengukuhkan sosio ekonomi golongan ini, beberapa strategi telah disusun atur oleh PERHEBAT yang bekerjasama rapat dengan JHEV, Persatuan-persatuan Veteran, Agensi-agensi Kerajaan, Swasta dan Agensi Institusi Kewangan dengan melaksanakan beberapa strategi bagi menukarkan peruntukan RM50 juta kepada bentuk ‘pancing’ kepada bekas-bekas tentera memulakan sesuatu usaha penjanaan ekonomi dalam kehidupan seharian mereka yang mana outcome yang dihasratkan setiap peserta mampu menjana pendapatan lebih daripada RM1500.00 sebulan dan menepati hasrat kerajaan dalam perlaksanaan Model Ekonomi Baharu (MEB) yang mensasarkan rakyat berpendapatan tinggi menjelang negara maju 2020.

Strategi 1- Program Outreach dengan melaksanakan program penerangan/penjelasan peserta dari satu lokasi ke satu lokasi di seluruh negara dengan kerjasama PBTM dan agensi-agensi lain dengan tujuan untuk memberi kefahaman semaksima mungkin  sekali gus membuat pendaftaran kepada golongan sasaran.  Jadual di bawah adalah statistik keseluruhan kecenderungan Bekas Tentera Tidak Berpencen dalam Program Outreach yang dilaksanakan sehingga 3 Feb 2012.

BIL

LOKASI

KATEGORI KECENDERUNGAN

JUMLAH

   

USAHAWAN

PEKERJAAN

TIDAK BERMINAT

 

1

JOHOR

400

12

305

717

2

NEGERI SEMBILAN

365

24

205

594

3

KEDAH

355

53

224

632

4

PERAK

276

39

280

595

5

PERLIS

112

11

72

195

6

PAHANG

116

6

72

194

7

KELANTAN

195

9

136

340

8

P. PINANG

77

7

33

117

9

SARAWAK

104

13

76

193

10

TERENGGANU

49

0

18

67

11

SABAH

34

22

27

83

12

SELANGOR

32

6

25

63

13

MELAKA

30

5

33

68

14

KUALA LUMPUR

19

5

5

29

15

W.P. LABUAN

8

1

1

10

JUMLAH

2172

213

1512

3897

Strategi 2- Penubuhan Lab atau Bengkel dengan tujuan untuk merangka dan melaksanakan program ini.

Strategi 3- Elemen Perlaksanaan iaitu dengan melaksanakan semua perancangan melalui enam teras strategi Pelan Pembangunan Sosio Ekonomi Veteran ATM yang tidak berpencen (PPSEV- ATM-TBP):

  • Melonjakkan 1000 orang usahawan/Syarikat yang sedia ada berdasarkan sektor /bidang yang boleh dilonjakkan (Quick Win), meningkatkan kompetensi keusahawanan (kemahiran, pengetahuan dan sikap) dan pembangunan jaringan perniagaan  dengan program-program yang diatur mengikut kategori dalam sektor Pembuatan, Perkhidmatan, Pertanian, Kemahiran Keusahawanan, Jatidiri Keusahawanan, Pembangunan Produk/Perkhidmatan, Pengurusan Pemasaran, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Organisasi, Kemaskini Profil Perniagaan, Penyediaan RP, Groombig/4PU, Business Matching, Coaching & Mentoring dengan kerjasama rakan strategik seperti JHEV, MITI, KPDNKK , MOA, PUNB, SIRIM, SME-Corp, MARA, IMP, MDeC, MATRADE, NGO.  Kemuncak kepada program ini ialah penyediaan pembiayaan sebanyak RM100,000 hingga RM500,000 oleh SME–Bank, Agrobank,  MIDF  dan Bank Komersil.
  • Mewujudkan 2000 orang usahawan baharu dengan cara mengenal pasti individu yang belum memulakan perniagaan dan memiliki tahap kecenderungan yang sederhana untuk memulakan perniagaan/menjadi usahawan  dan menjalankan program latihan keusahawanan di peringkat asas. Dengan Program TEKAD Wira 1MALAYSIA,  Ujian psikometrik , Kursus Asas, Keusahawanan,  Kursus Penyediaan Rancangan  Perniagaan  dengan kerjasama rakan strategik seperti  JHEV, INSKEN, SME Bank, TEKUN , Amanah Ikhtiar, MARA dan SSM.

 

  • Berusaha untuk menarik minat 7000 orang bekas tentera yang belum memulakan perniagaan dan memiliki tahap kecenderungan yang rendah untuk menjadi usahawan. Melalui skor ujian psikometrik, akan mengenal pasti bekas tentera yang berminat dan melakukan pembudayaan keusahawanan melalui seminar/ceramah/motivasi dan program Tekad Wira 1Malaysia.  Dengan kerjasama rakan strategik JHEV, media dan INSKEN adalah dijangka sebilangan yang berminat akan menjadi usahawan di akhir program.

 

  • Pengukuhan kebolehpasaran guna tenaga dengan meningkatkan peluang  pekerjaan  dengan menyediakan khidmat sokongan melalui rakan strategik dengan melaksanakan program Tekad Wira 1Malaysia,  kaunter bergerak,  memanfaatkan portal pekerjaan sedia ada (Jobs Malaysia)  di samping  persediaan pekerjaan  (resume dan kemahiran menghadiri temuduga). Jobmatching (Quick win) dengan melakukan dialog bersama majikan/temuduga, kemaskinikan pangkalan data veteran ATM, mengenal pasti kumpulan sasaran, mengenal pasti keperluan pekerjaan, mengadakan promosi berterusan dan menguatkuasakan peraturan pengambilan veteran (projek MINDEF).  

Place and Train yakni mewujudkan Sinergi/Kolaborasi. Strategi meningkatkan kompetensi Veteran ATM adalah dengan tindakan mewujudkan  Pengiktirafan industri , Penambahbaikan sistem latihan/modul, Mewujudkan kolaborasi dengan penyedia latihan/agensi  berkaitan,  Kemudahan peralatan latihan, Mewujudkan  pengiktirafan industri, Penambahbaikkan sistem latihan/modul. Dalam pelan tindakan ke empat ini rakan strategik yang disenaraikan sebagai elemen kerjasama ialah KSM, JHEV, Jobs Malaysia , PMSB , CIDB, MEF, FMM, PLUS dan industri berkaitan .

  • Pelan Tindakan Ke 5 adalah Kolaborasi, Promosi dan publisiti.  Kolaborasi dengan agensi kerajaan/GLC/Swasta/NGO.  MoU dengan Agensi Kerajaan untuk mendapatkan kemudahan latihan keusahawanan dan pekerjaan dan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal.  Rakan strategik adalah MITI, KPDNKK, MOA, JOB Malaysia, Institusi kewangan, MAPEM, Dewan Perniagaan, TEKUN, Amanah Ikhtiar, SME-Bank.

Publisiti  dan Promosi melalui ICT /Iklan/Dokumentari/ Drama  dengan menaik  taraf Portal dan jenama PERHEBAT-Prenuer  dan Job-PERHEBAT,  Papan tanda di tempat strategik, Dokumentari di radio / TV dan Video Korporat melalui rakan strategik seperti TELEKOM, MAXIS, DIGI , Media elektronik (seperti RTM/TV3/TV9/TV 7/ , TV OASIS dan Media Cetak.

  • Penyelidikan dan pembangunan pangkalan data program PPSEV- ATM-TBP adalah bagi mengukur pencapaian  PPSEV- ATM-TBP dengan memberi penekanan kepada Laporan Outcome dan Kajian Impak dengan kerjasama IPT/ Perunding Swasta . Juga mengemaskinikan senarai Veteran  ATM dengan Penyediaan Pangkalan Data dan Membangunkan Peta Demografi Veteran ATM dengan menggunakan Geography Information System (GIS),  Melengkapkan pangkalan data berkaitan peluang pekerjaan, Mewujudkan rangkaian laman portal dengan agensi/industri dengan kerjasama Perunding GIS .

Grafik: Ehsan Bahagian Perancangan Koperat PERHEBAT

Lab 1 dan 2 dalam Model Perlaksanaan Program di atas menggambarkan pada akhir program nanti  semua yang terlibat mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1500.00 sebulan seperti mana yang dihasratkan oleh kerajaan dalam Model Ekonomi Baharu negara.

Di antara jenis-jenis pekerjaan yang disenaraikan dalam program ini seperti Pemandu, Keselamatan, Penyelia, Pengurus, Penyelenggara Setor, Juruteknik/Mekanik, Juragan, Imam/Bilal, Tukang Masak, Offshore dan Polis. Manakala bidang-bidang keusahawanan yang terpilih ialah seperti Jahitan, Ternakan, Perniagaan, Katering, Penyelenggara Setor, Pertanian, Teknikal, Perikanan, Kontraktor Binaan, Peruncitan, Dobi dan Salun/Gunting Rambut, Restoren,  Kedai Makan,  Tukang Baiki Kasut dan lain-lain.

Penutup

Bekas tentera boleh dibahagikan kepada dua kategori yang berilmu dan yang tidak berilmu.  Berilmu dalam ertikata mempunyai kepandaian akademik maupun kemahiran teknikal yang mereka belajar sebaik sahaja menamatkan perkhidamtan  samada di PERHEBAT ataupun pusat-pusat pengajian luar yang mana kedua-duanya boleh menjadikan asas kepada survivaliti menjana pendapatan selepas menamatkan perkhidmatan samada berpencen atau tidak berpencen dengan bekerja sendiri atau makan gaji.

Kategori kedua ialah bekas tentera yang tidak berilmu akademik maupun  kemahiran diburukkan lagi tidak mempunyai hartanah untuk diusahakan.  Golongan ini agak sukar untuk survival dan perlu dibantu dalam bentuk program yang diatur dalam perbincangan di atas dalam usaha memberi asas kemahiran dan keyakinan bagi memulakan sesuatu usaha.  Jika program seperti ini masih dipandang sepi maka selamanya lah mereka akan berada dalam golongan masyarakat bersubsidi meskipun mempunyai tubuh badan yang sihat wala’fiat.

Merujuk kepada pencapaian program outreach yang dianjurkan sehingga Feb 2012 menggambarkan hanya beberapa peratus sahaja yang keluar untuk menyahut cabaran di dalam usaha pihak kerajaan untuk membaiki taraf hidup bekas tentera yang tidak berpencen yang ‘kononnya’ dikatakan sangat daif.  Andaian penulis dalam senario ini sebenarnya dari angka 175,000 orang bekas tidak berpencen cuma  beberapa peratus sahaja yang betul-betul daif dan sangat memerlukan bantuan kerana kemungkinan mereka ini adalah dari kumpulan yang sudah berumur sangat lanjut, uzur, cacat dan tidak mempunyai waris yang boleh membantu.  Kumpulan ini sebenarnya sudah ada dalam senarai pemantauan JHEV setiap negeri yang memberi bantuan secara berterusan.  Sebahagian lagi sebenarnya mereka-mereka ini sudah berada pada tahap selesa dalam kehidupan malah ada yang sangat berjaya yang tentunya program seperti ini tidak perlu lagi kepada mereka. 

Kesimpulannya sekarang adalah perahu sudah di air, pendayung juga sudah di tangan.  Hanya kemahuan dan usaha sahaja yang mampu mengubah nasib seseorang.  Program sudah di atur dengan segala ruang dan peluang tersedia.  Bentuk bantuan yang macam mana lagi yang harus kerajaan melalui rakan kolaborasinya aturkan untuk mengubah nasib bekas tentera?. Bertepatan dengan kata perpatah yang seseorang hanya mampu membawa kuda ke kolam tetapi jika kuda itu sendiri tidak mahu meminumnya apakan daya untuk memaksa. 

Kebanyakan mereka sebenarnya mahukan insentif/elaun berbentuk wang tunai tanpa perlu bersusah payah bekerja seperti mana yang cuba diaturkan di dalam program ini.  Ironinya, jika bekas komunis pun diberi tanah kenapa bekas tentera tidak diberi yang seumpama atau jika nelayan dapat insentif bulanan, apakah bekas tentera yang bersusah payah membebaskan tanahair ini tidak layak?.  Hakikat inilah yang bersarang dalam minda mereka yang mencetus polimik berpanjangan di samping kegagalan pihak kerajaan-kerajaan negeri meluluskan permohonan-permohonan tanah secara sah sebagaimana rakyat terbanyak.

Justeru sekali lagi penulis ingin mengulangi cadangan yang pernah ditulis sebelum ini dengan nada yang sama supaya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mempunyai prestasi cemerlang dan konsisten memberi bonus tahunan kepada pencarumnya yang terdiri daripada warga aktif ATM.  Sesuatu yang boleh dibuat kajian ialah menggubal satu kaedah supaya bekas tentera juga dibenarkan membuat caruman tetap yang berkonsepkan pelaburan saham yang mampu menjana pendapatan sampingan. Jika idea ini dapat direalisasikan, ini dikira suatu tindakan positif sebagai penghargaan terhadap kesetiaan mereka mencarum selama berada di dalam perkhidmatan tetap selama ini.

 

Dengan kegagalan individu yang berada dalam kumpulan sasaran menfaatkan peluang ini, maka suara-suara sumbang akan terus berkumandang menyatakan pihak itu ini gagal membela nasib bekas bekas tentera di dalam meningkatkan sosio ekonomi mereka.  Selari dengan itu akan lahir NGO-NGO malah juga parti-parti politik yang cuba menangguk di air keruh mendendangkan lagu-lagu hasutan.  Ruang ini akan diguna sepenuhnya untuk terus mendesak dan jika ‘perlindungan’ tidak dilaksanakan dengan berkesan dikuatiri angka yang ramai ini menjadi satu angka yang boleh merosakkan strategi menyatu, mengukuh dan memperkasakan bekas tentera menjadi sebaliknya.

Sebagai nilai tambah, kerajaan juga perlu melihat lain-lain model organisasi veteran yang terdapat di seluruh dunia.  Apakah acuan yang mereka guna pakai bagi menstabilkan perasaan bekas-bekas tentera mereka yang berjaya mengekalkan sikap profesional dan berkecuali dalam politik menjurus kepada perpaduan dalam masyarakat.

Maka di sinilah natijahnya dalam konteks perjuangan, strategi merupakan senjata utama bagi menentukan keberkesanan dan kejayaan.  Kejayaan sesuatu perjuangan, dalam apa jua konteks sekali pun adalah berkait rapat dengan ketabahan, kesabaran dan konsistensi samada secara individu maupun berpasukan.

PERAJURIT

Elaun JPP: Akta masih digubal

sumber utusan

DATUK WAN HAMIDAH WAN IBRAHIM
Setiausaha Bahagian
BIUPA, Jabatan Perdana Menteri

BAHAGIAN Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk Penerima Pingat JPP inginkan kepastian yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 27 Januari 2012.

Terlebih dahulu BIUPA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada aduan yang ditulis oleh Menunggu Sampai Tua dan berikut adalah penjelasan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan.

Secara dasarnya, elaun kenangan kepada penerima pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) dan Pingat Tentera Udara (PTU) telah diluluskan oleh kerajaan pada Julai 2011 dan tarikh penguatkuasaan pembayaran elaun tersebut ialah pada 1 Julai 2011.

Program Gerak Wira PBTM

Jitra 12 Feb- Program Gerak Wira PBTM peringkat Negeri Kedah telah berlangsung hari ini di Dewan Damai Regency Darul Aman Golf Resort Jitra mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari bekas-bekas tentera negeri Kedah.

Program ini adalah kesinambungan daripada Perhimpunan Raksasa PBTM pada 10.10 2010 yang berslogankan Menyatu, Mengukuh dan Memperkasakan Bekas Tentera.

Beberapa siri program Gerak Wira telah dilaksanakan bertujuan untuk memberi penjelasan kepada bekas-bekas tentera terutamanya kepada bekas-bekas tentera yang tidak berpencen tentang Bajet RM 50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2012.

Pengisian program ini adalah sesi penerangan wakil PERHEBAT dan  Agensi Pembangunan Usahawan Negeri Perak (PEHRDA) berkaitan pengendalian kursus-kursus yang dipilih sendiri  oleh peserta-peserta yang berminat.

Program sehari ini telah dirasmikan oleh YB Dato Paduka Ahmad Bashah bin Md Hanipah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah merangkap ADUN Bakar Bata.  Turut hadir dalam Majlis Perasmian program ini ialah  Presiden PBTM, Dato Mohamad Ghani, Dato Saad Man ADUN Jitra dan Dato Zaini ADUN Bukit Kayu Hitam.

Bekas tentera perlu sikap ‘samurai’

Sumber utusan

Oleh NIZAM YATIM

nizam.yatim@utusan.com.my

PERSATUAN Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang ditubuhkan lebih 86 tahun lalu oleh British telah menghadapi pelbagai cabaran bagi membantu golongan yang banyak berjasa kepada negara ini.

Perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang pada asalnya dikenali sebagai Ex-Services Association of Malaya (ESAM) telah mendapat sokongan positif kerajaan termasuk yang terbaru melibatkan kenaikan kadar pencen bekas tentera sebanyak lapan peratus mulai Januari lalu.

Bagaimanapun, perjuangan PBTM dengan sokongan kerajaan untuk membela nasib bekas tentera telah tergugat berikutan sebilangan ahli khususnya pesara baru yang berusia dalam lingkungan 40-an enggan mengubah sikap.

Akibatnya, program latihan kemahiran dan kursus keusahawan melalui Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat) dan lain-lain bantuan supaya pesara berdikari melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Yayasan Warisan Perajurit dan Yayasan Veteran tidak menunjukkan hasil yang boleh dibanggakan.

Mengulas perkara itu, Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani yang telah bersama-sama persatuan itu selama 33 tahun termasuk 15 tahun sebagai presiden menegaskan, bekas tentera hanya boleh berjaya dalam hidup sekiranya mereka bersikap seperti ‘samurai’.

“Kalau di Jepun, ‘samurai’ boleh membangunkan negara itu, kenapa kita bekas pejuang negara tidak dapat membangunkan ekonomi diri kita sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di ibu pejabat PBTM di Wisma Pahlawan, Kuala Lumpur kelmarin.

‘Samurai’ adalah pasukan tentera elit Jepun yang telah menguasai politik, ekonomi dan sosial negara Matahari Terbit itu selama tujuh abad. Selain mahir taktik peperangan, ramai ‘samurai’ berjaya dalam kehidupan sebagai orang awam termasuk menjadi penyair dan penulis kaligrafi berbakat.

Mengulas lanjut mengenai perubahan sikap yang perlu dilakukan bekas tentera, jelas Muhammad, terdapat empat budaya negatif golongan itu yang perlu dikikis termasuk budaya menunggu untuk menerima arahan terlebih dahulu sebelum bertindak.

“Bekas tentera menganggap mereka masih berada dalam kem sedangkan mereka telah berada di dunia luar yang memerlukan seseorang itu berdikari dan berusaha sendiri untuk memajukan diri,” ujarnya.

Jelasnya, budaya kedua yang perlu diubah melibatkan keinginan untuk balik ke kampung selepas bersara, sedangkan kebanyakan kursus kemahiran yang diperoleh di Perhebat hanya sesuai dipraktikkan di bandar-bandar.

“Budaya ketiga melibatkan kecenderungan mengambil kursus peralihan di Perhebat yang tiada kaitan dengan bidang tugas dalam tentera.

“Jangan kita ikuti kursus perniagaan, sedangkan kita dulu tukang masak. Sepatutnya, kita ambil kursus pengurusan restoran, supaya lepas itu kita boleh buka restoran,” tegasnya.

Tambah beliau, budaya keempat adalah sikap tidak mahu tampil ke hadapan bagi meminta supaya diberikan peluang perniagaan, projek dan lain-lain kemudahan.

Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti persatuan bekas tentera terbesar dan tertua di Malaysia itu yang kini mempunyai 236 cawangan dan 150,000 ahli, Muhammad berkata, tumpuan adalah untuk terus memperjuangkan kebajikan bekas tentera.

“Kita mahu bantuan sara hidup setiap bulan kepada bekas tentera yang layak diberikan mengikut nilai semasa dan kita juga berharap 175,000 bekas tentera yang tidak berpencen turut layak menerima bantuan ini.

“Kita juga mencadangkan supaya bantuan sara hidup ini turut diberikan kepada bekas tentera yang berusia 70 tahun dan ke atas terutama kepada mereka yang tidak berpencen,” katanya.

Bagi meningkatkan bilangan usahawan bekas tentera, PBTM turut mencadangkan supaya 30 peratus projek di bawah Kementerian Pertahanan diberikan kepada Dewan Perniagaan Bekas Tentera dan Koperasi Kebajikan Bekas-Bekas Tentera.

“Kementerian-kementerian lain, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad yang diwujud hasil daripada potongan gaji anggota tentera juga perlu memainkan peranan bagi membantu bekas tentera dengan memberikan projek dan pekerjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, bantuan ex-gratia kepada tentera yang cacat ketika bertempur dalam operasi sehingga 1989 perlulah mengikut nilai semasa dan bukannya berdasarkan gaji akhir ketika bertugas.

Beliau juga berharap kerajaan-kerajaan negeri lain mencontohi kerajaan Perak yang telah memberikan 7,000 lot tanah bagi membolehkan bekas tentera membina rumah yang selesa.

Dalam pada itu, Muhammad turut meluahkan perasaan gembira setelah Parlimen meluluskan Akta Veteran 2011 untuk membantu bekas tentera melalui peruntukan undang-undang.

Bagaimanapun, jelasnya, PBTM telah mencadangkan beberapa pindaan kecil termasuk dinyatakan secara jelas matlamat akta itu untuk menjaga kebajikan bekas tentera dan persatuan yang mewakili mereka.

“Ahli-ahli PBTM di peringkat akar umbi tidak berpuas hati dengan fasal ini kerana ia menyebabkan suara bekas tentera menjadi terbatas apabila segalanya perlu dibuat menerusi Majlis Veteran Kebangsaan yang berfungsi sebagai entiti tentera.

“Sepatutnya persatuan dibenarkan bergerak sebagai NGO supaya kita boleh bersuara, bukan bersuara dalam kelambu sahaja. Jika fasal ini dikekalkan persatuan bekas tentera akan dikurung, kena ikut perintah dan tidak bebas,” ujarnya.

Katanya, bibit-bibit perasaan tidak berpuas hati itu perlu dibendung supaya bekas tentera tidak beralih menyokong Kelab Veteran Angkatan Tentera (Kerabat) yang ditubuhkan baru-baru ini dengan matlamat menyokong pembangkang.

Bagi mengelak bibit-bibit tidak baik itu menjadi ‘api dalam sekam’ kepada kerajaan, sudah sampai masanya tuntutan bekas tentera dipertimbangkan dan kebebasan mereka untuk bersuara tidak disekat.

Tabung Rayuan Hari Pahlawan kumpul RM5.5 juta

sumber utusan

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2011 berjaya mengumpulkan sebanyak RM5.5 juta hasil sumbangan pihak korporat, organisasi dan individu setakat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkifli Mazlan berkata, meskipun kempen Rayuan Hari Pahlawan 2011 berakhir hari ini, namun orang ramai digalakkan untuk terus menderma.

“Sasaran kita tahun ini adalah RM10 juta. Walaupun kempen telah berakhir setelah tiga bulan dilancarkan, orang ramai masih boleh terus menyalurkan sumbangan ikhlas kepada tabung ini.

“Banyak lagi sumbangan berterusan dari beberapa syarikat akan diterima nanti dan tidak mustahil kita akan dapat mencapai sasaran sumbangan sebelum sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Cabaran Pencarian Harta Karun Pahlawan sempena Rayuan Hari Pahlawan 2011 di Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi hari ini.

Acara itu disertai oleh kira-kira 200 orang yang terdiri daripada 50 kumpulan berkereta, yang memulakan aktiviti pencarian di Kem Wardieburn sebelum berakhir di muzium berkenaan.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Zulkifli berkata, orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan menaip RHP diikuti 1,2,3,4,5,6,7,8,9 atau 10 (mewakili nilai ringgit yang mahu disumbangkan) dan hantarkan ke 37799.

Kempen Rayuan Hari Pahlawan diadakan setiap tahun bertujuan mengumpul dana daripada orang ramai dan syarikat korporat untuk diagih kepada bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan. – BERNAMA

Memperingati pejuang negara

BEKAS anggota pasukan keselamatan yang tercedera termasuk hilang kaki ketika bertempur dengan pengganas komunis meluangkan masa meninjau persekitaran Balai Polis Bukit Kepong yang mencatat peristiwa berdarah pada 23 Februari 1950, di Muar, Johor, semalam. – UTUSAN/ISHAK RAHMAD

 

sumber utusan

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my

PAGOH 13 Sept. – Laungan ‘Hidup Pejuang!’ bergema sebanyak tiga kali di tapak bersejarah Balai Polis Bukit Kepong apabila hampir 1,000 orang bekas polis dan tentera serta waris peristiwa Bukit Kepong berhimpun bagi membantah tindakan pihak yang mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan negara.

Dalam Majlis Memperingati Pejuang Negara yang julung kali diadakan di pekarangan balai polis itu di sini hari ini, linangan air mata dapat disaksikan di kalangan bekas anggota keselamatan serta waris keluarga mereka mengenangkan tragedi menyayat hati pada 23 Februari 1950 itu.

Segala peristiwa pahit dan duka dalam perjuangan memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) kembali terimbau dalam segmen pantomin peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada majlis itu.

Dalam reaksi senada, kesemua bekas anggota pasukan keselamatan telah bangkit mengecam kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempersendakan pengorbanan pasukan polis.

Pada majlis itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia serta Persatuan Veteran Tentera Melayu turut sepakat mengeluarkan Deklarasi Bukit Kepong bagi mengingatkan semua pihak agar tidak mengguris hati dan perasaan para pejuang yang menjaga kedaulatan negara.

“Bahawa kami seluruh ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia pada 13 September 2011 dengan ini membantah serta menolak apa-apa jua kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta,” menurut deklarasi itu yang dibacakan pada majlis itu.

Deklarasi itu kemudian diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Bekas Polis Johor, Datuk Mohd. Shah Isnin kepada Kurator Muzium Polis, Supritendan Said Zainal Abidin Said Zain.

Majlis yang dihadiri bekas polis serta tentera dan waris keluarga anggota peristiwa Bukit Kepong dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Turut diadakan ialah forum bertajuk, Siapa Pejuang Sebenar dengan ahli panel bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor; Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Rosli Salehuddin serta bekas Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Shaharuddin Abd. Aziz sebagai moderator.

Selain mengunjungi tapak bersejarah di Bukit Kepong itu, bekas polis, tentera serta waris keluarga turut meluangkan masa melawat Pameran Memperingati Pejuang Negara, bacaan tahlil serta lawatan ke tanah perkuburan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

Sementara itu, dalam majlis forum tersebut, Rahim menempelak pihak-pihak yang mengocak kedamaian negara dengan mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan dan cubaan halus membangkitkan semula perjuangan PKM yang mengorbankan banyak nyawa pasukan keselamatan dan orang awam.

“Sekarang sudah ada suasana di mana orang mempersoalkan peristiwa Bukit Kepong, orang putar belitkan fakta. Ada yang berpendidikan doktor falsafah yang turut mempertikai sejarah dengan matlamatnya menghalalkan cara,” katanya.

Jelasnya, beliau bimbang kenyataan sebagaimana yang dikeluarkan Mohamad yang mempertikaikan sejarah akan menimbulkan gelombang sehingga menimbulkan ketidakstabilan dan menjejaskan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ramlah berkata, usaha untuk menerangkan fakta sejarah negara kepada generasi muda perlu diperluaskan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan pembohongan yang tersebar luas terutamanya di Internet.

“Saya sudah menulis banyak buku tetapi orang tidak baca, orang baca laman web, jadi kita semua kena membetulkannya dengan cara mendidik anak kita tentang sejarah dan dasar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun Mohamad Indera yang mengetuai serangan komunis terhadap Balai Polis Kepong dikatakan warak dan kuat agama, fakta sejarah menunjukkan ramai dalam kalangan orang yang berpendidikan agama dipengaruhi PKM sehingga menjadi kuda tunggangan.

“Latar belakang pemimpin PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh adalah daripada pendidikan agama tetapi mereka tidak diberitahu mengenai tujuan sebenar komunis untuk menakluk negara,” katanya.

Mat Sabu perlu bersyukur: PBTM Kedah

sumber:sinar harian

ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu perlu bersyukur dan menghargai keamanan yang dikecapi hasil perjuangan pejuang-pejuang terdahulu dan tidak bertindak mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati banyak pihak.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kedah, Kapten Yusof Yaacob berkata, PBTM negeri mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong yang mana komunis yang menyerang balai polis disanjung sebagai hero.

Menurutnya, Mat Sabu menafikan perjuangan pejuang-pejuang yang terlibat dalam pertempuran dan kenyataan ini benar-benar mengguris hati dan perasaan barisan pejuang yang sudah banyak berkorban untuk negara.

“Sepatutnya, beliau berterima kasih dan bersyukur kerana disebabkan perjuangan kami (tentera dan polis) maka negara berada dalam suasana aman dan makmur.

“Malah, nikmat yang beliau rasai dan kecapi ketika ini adalah hasil perjuangan kami dan saya serta 20,000 ahli PBTM Kedah, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat Mat Sabu,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat pemimpin politik itu mungkin kerana ada agenda atau sekadar mencari publisiti murahan tetapi Mat Sabu tidak seharusnya menyentuh mengenai perjuangan pasukan keselamatan di negara ini.

“PBTM Kedah menuntut agar Mat Sabu sedar dan memohon maaf secara terbuka berhubung perkara ini, serta tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengguris kenyataan pejuang-pejuang seperti kami.

“Malah kerajaan juga sewajarnya mengeluarkan arahan bagi menyekat pemimpin politik ini daripada mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.

Yusof berkata, sebagai negara demokrasi, tidak salah untuk berpolitik tetapi tokoh politik khususnya, perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Veteran Tentera Tetap Di kenang

Sumber Majalah Perajurit Edisi Sept 2011
Oleh Hamzah hd.

Sesuatu yang unik di dalam komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ialah di samping mempunyai ratusan ribu anggota sebagai benteng barisan hadapan, ratusan ribu lagi sebagai anggota simpanan sebagai benteng kedua dan puluhan ribu lagi adalah merupakan bekas-bekas tentera yang dipanggil veteran yang telah melalui masa-masa kesukaran semasa di dalam perkhidmatan samada perkhidmatan 10,15, 18 atau 22 tahun. Tidak dapat disangkal lagi peranan dan pengorbanan yang dimainkan oleh komuniti ini terutama pada era pra pembangunan negara yang menghadapi banyak ancaman telah meletakkan rakyat Malaysia waktu ini berada di dalam situasi kondusif. Jadi tidak hairanlah jika komuniti ini sejak dari dalam perkhidmatan lagi diberi beberapa keistimewaan yang berbeza berbanding Jabatan-jabatan Perkhidmatan awam yang lain.

Sekadar menyebut beberapa keistimewaan disediakan secara percuma seperti tambang percutian bersama keluarga, pakaian, kemudahan rawatan, tempat tinggal yang kondusif dengan kemudahan asas dan riadah, malah menikmati skim gaji yang agak tinggi dengan insentif Lembaga Tabung (LTAT) yang menjamin masa persaraan, kemudahan Koperasi yang memberi pulangan konsisten dan lain-lain lagi.

Momentum pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka tidak terhenti setakat di dalam perkhidmatan malah kerajaan berterusan menyusun atur perancangan dengan melaksanakan langkah-langkah strategik dengan pengurusan sistematik bagi menentukan kehidupan veteran di alam persaraan terus terbela dengan berusaha menjaga kebajikan dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi tanpa mengira kaum, bangsa dan ugama.

Manifestasi ini diserlahkan dengan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) pada tahun 2001 yang merupakan usaha berterusan pihak kerajaan ke arah penambahbaikan golongan sasaran.

Veteran ATM yang didefinasikan sebagai warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa tanpa mengira tempoh khidmat, Force 136, Tentera British yang berkhidmat di Malaysia/ Singapura (British Army) dan Sarawak Rangers. Ini bermakna, Platun Artis dalam Askar Wataniah (sebagai contoh) jika diserap dan berkhidmat walau sehari sebagai anggota tetap maka ianya dikira sebagai Veteran ATM dan berhak menikmati apa jua keistimewaan atau faedah-faedah perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Rasanya tidak ada organisasi lain yang begitu diberi cakna secara khusus dan serius oleh pemerintah setelah bersara/berhenti dari perkhidmatan wajib. Berbeza dengan komuniti tentera ini yang bukan sahaja diberi perhatian lebih semasa perkhidmatan malah setelah bersurai dari perkhidmatan, JHEV bersedia ‘menatang’ dan menjadi one stop centre kepada mereka dengan melayani segala keperluan supaya veteran ini dapat berdikari meneruskan kelangsungan hidup seawal selepas tamat latihan peralihan sehingga ke liang lahad.

JHEV bertanggungjawab kepada veteran ini mencakupi semua aspek kebajikan dengan menyediakan tempat-tempat latihan kemahiran dan pengembangan ilmu kemahiran dan keusahawanan secara percuma supaya boleh berdikari mencari sumber pendapatan bagi menampung keperluan hidup.

Usaha terkini Kementerian Pertahanan ialah telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh Kursus Peralihan dari 2 kepada 3 tahun bagi melengkapkan veteran ATM dengan kemahiran yang betul-betul diperakukan di sektor awam. Memberi sokongan pinjaman kewangan serta bimbingan berterusan kepada mereka yang memerlukan malah sumbangan kebajikan kepada yang daif malah bantuan pelajaran anak-anak cemerlang dan banyak lagi sehingga ke kemuncak sebuah kehidupan iaitu bantuan pengurusan jenazah veteran dan semua tanggungan yang berumur 18 tahun ke bawah.

Bagi veteran yang tidak mampu menamatkan perkhidmatan sehingga 22 tahun (LLP), disokong pula untuk memohon ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang lain malah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat-syarikat perkapalan dalam negara turut memberi ruang untuk menerima bekas-bekas tentera yang berkelayakan dengan latihan asas yang minima.

Penambahbaikan Berterusan

Berikut adalah petikan sebahagian kronologi yang menggambarkan kebajikan Veteran ATM sentiasa dipantau, penambahbaikan demi penambahbaikan dilakukan secara berterusan seawal tahun 70an lagi.(Rujukan: Buletin Veteran ATM).

1970- Penubuhan Bahagian Hal Ehwal Bekas Tentera (HEBAT) di Kementerian Pertahanan, susulan Jemaah Menteri (JM) pada 1 Mei 1968. HEBAT bertanggungjawab kepada usaha pemulihan semula kebajikan dan pembangunan bekas-bekas tentera. Latihan Kemahiran kepada bakal-bakal pesara tentera dilaksanakan di Institut Kemahiran Kementah (IKK) di bawah penyeliaan HEBAT.

1994- Penubuhan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) melalui satu perintah di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973, susulan keputusan JM pada 13 April 1994. PERHEBAT mengambilalih peranan IKK dan HEBAT di mana pada 3 September 1994, HEBAT telah dimansuhkan. PERHEBAT juga menjalankan aktiviti pinjaman perniagaan.

2000- Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran di bawah Kementerian Pertahanan selaras dengan keputusan JM pada 11 Oktober 2000. JHEV berperanan sebagai One Stop Centre kepada bekas-bekas tentera.

2001- JHEV mula beroperasi secara rasmi.

Jan 2002- Peranan PERHEBAT telah disusun semula di mana perbadanan ini hanya berfungsi sebagai pusat latihan kepada bakal-bakal pesara tentera dan bekas-bekas tentera iaitu sebuah training arm. Peranan-peranan lain seperti program kebajikan, penempatan kerjaya kepada bekas-bekas tentera diambilalih oleh JHEV.

Jan 2002- Pelancaran Skim Bantuan Kebajikan dan pendidikan JHEV menggantikan Skim Kebajikan PERHEBAT iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Kemasukan ke IPT dan Bantuan Bencana Alam.

Ogos 2002- Kad Bekas Tentera dilancarkan.

Mac 2003- Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Yayasan Veteran ATM (YVATM) dengan Geran Pelancaran bernilai RM10 juta melalui pengambilalihan Yayasan Pahlawan Malaysia.

2004- Bahagian Kewangan dan Akaun (BKA) beroperasi sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menguruskan peruntukan yang diberikan oleh MinDef, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

2004- JHEV mengambialih pembayaran Elaun Kenangan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP)-RM 400.00 dan Panglima Gagah Berani (PGB)-RM300.00.

Mei 2004- YVATM memulakan operasi. Ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah dengan menyediakan bantuan haemodialisis, bantuan khairat kematian dan tabung zakat YVATM.

Jul 2004- JHEV mengambilalih sepenuhnya pengurusan pembayaran pencen ATM di Semenanjong dari JPA termasuk urusan pembayaran bayaran perubatan kepada Veteran ATM berpencen.

Nov 2004- JM bersetuju supaya Veteran ATM tak berpencen layak membuat tuntutan bayaran balik kos perubatan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2005.

Jan 2005- JHEV mengambilalih pengurusan pembayaran pencen ATM di Sabah dan Sarawak dari JPA.

Okt 2005- Pingat Jasa Malaysia (PJM) diwujudkan melalui Warta Kerajaan nombor 22 Jil 49.

2008- JHEV mula membuat bayaran Ex-Gratia Bencana Kerja.

2009- JM bersetuju menaikkan kadar Elaun Kenangan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) -RM 2000.00 dan Panglima Gagah Berani (PGB) -RM1500.00. Jm juga meluluskan bayaran Elaun Kenangan kepada penerima Pingat Keberanian British George Cross (GC) -RM2000.00, Military Medal (MM) –RM1500.00 dan Military Cross (MC)- RM1500.00.

Sep 2009- Veterans Information System (VETIS) dibangunkan merangkumi modiul maklumat veteran, modiul kebajikan, modiul sosioekonomi, modiul maklumat eksekutif, modiul perubatan, modiul latihan dan pekerjaan yang boleh diakses melalui portal JHEV di alamat www.jhev.gov.my

Jul 2010- JHEV menerajui kutipan Rayuan Hari Pahlawan (RHP) dengan kerjasama Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Nov 2010- Bayaran Bantuan Mengurus Jenazah dipanjangkan kepada Veteran ATM Berpencen. RM3000.00 untuk Veteran dan RM1500.00 untuk isteri serta tanggungan berumur 18 tahun ke bawah.

Dis 2010- JM telah meluluskan Cadangan Rang Undang-undang Veteran 2010 (kini dikenali sebagai Rang Undang-undang Veteran 2011).

Jan 2011- Penyata Pencen boleh dicetak melalui Portal JHEV.

Feb 2011- JM telah meluluskan Cadangan Bantuan Pengurusan Jenazah kepada Veteran ATM tidak berpencen dan semua tanggungan.
Mac 2011- Rang Undang-undang Veteran 2011 dibaca buat pertama kali di Parlimen.
Mac 2011- Perasmian Wad Veteran di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Kuala Lumpur.

Satu lagi pengumuman bermakna oleh YAB Perdana Menteri pada 30 Julai 2011 ialah kerajaan bersetuju untuk membayar Elaun Kenangan Pingat Pingat Tentera Udara (PTU) dan Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) sebanyak RM1000.00 sebulan. Bagi penerima Pingat PTU dan JPP yang telah meninggal dunia, keluarga masing-masing akan diberi imbuhan sebanyak RM10,000.00 bagi setiap seorang. Kelulusan ini menjadikan Anugerah Perkasa ke 7 selepas SP, PGB, GC, MM dan MC yang menerima imbuhan bulanan di atas jasa dan pengorbanan kepada negara.

Persatuan-persatuan Veteran ATM

Veteran ATM walaupun teriktiraf secara automatik keahliannya dengan JHEV namun diberi kelonggaran untuk menubuhkan atau menjadi ahli Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berasaskan unit terdahulu atau kor perkhidmatan masing-masing seperti Persatuan Bekas TLDM (PBTLDM), Persatuan Bekas Tentera Udara, Persatuan-persatuan yang mewakili Kor-kor malah Rejimen-rejimen dari Tentera Darat dan sebagainya.

Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang mewakili keseluruhan bekas anggota ATM adalah merupakan dominan dengan keahlian yang menjangkau puluhan ribu orang ahli dari semua peringkat pangkat ATM dan dalam masa yang sama ahli-ahli PBTM turut menjadi ahli beberapa persatuan/kelab yang lain yang mana semuanya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Adalah dianggarkan lebih daripada 40 Persatuan Veteran ATM telah berdaftar dengan ROS setakat ini bermotifkan silaturrahim dan menjaga kebajikan ahli-ahli.

Satu persoalan yang sering ditanya kenapa JHEV dan persatuan/Kelab yang berasaskan kor perlu ditubuhkan sedangkan perihal kebajikan bekas-bekas tentera sudah lama diambil peranan oleh PBTM?. Persoalan ini agak subjektif dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan bekas-bekas tentera dan ramai yang masih kebingungan kerana ramai yang masih menganggap JHEV juga adalah sebuah pertubuhan NGO yang mana perlu mendaftar dan bayar yuran untuk menjadi ahlinya.

Dalam polemik ini telah banyak merungkai persoalan di atas dan jawapannya adalah masih dalam lingkungan spekulasi yang mempunyai pro dan kontra berkisar kepada kegagalan peranan yang dimainkan oleh PBTM itu sendiri samada dari segi kelemahan kepimpinan peringkat tertinggi maupun kelemahan pemimpin-pemimpin peringkat cawangan di dalam melaksanakan tugas memberi ‘kepuasan’ kepada pelanggan yakni ahli-ahli PBTM sekali gus telah mencalar nama baik persatuan itu sendiri.

Sebagai sebuah NGO, PBTM tidak boleh lari berhadapan dengan kelemahan dan kekangan namun perlu diakui, ianya mempunyai rekod pengalaman yang luas dan jasanya sudah banyak sebelum ini mencurah bakti kepada ahli-ahlinya yang bermasalah tetapi perkhidmatan yang diberi hanya tertumpu kepada ahli-ahlinya yang berdaftar sahaja tidak menyeluruh kepada semua bekas tentera. Ruang kosong yang ditinggalkan ini telah menjadi barah sekaligus menjadi bahan manipulasi politik oleh pihak-pihak tertentu.

Rungutan demi rungutan ahli PBTM maupun bukan ahli PBTM sehingga banyak tersebar di media-media massa yang ‘merasakan’ kerajaan telah mengabaikan kebajikan mereka takkala negara sudah mengecapi kemakmuran yang begitu ketara hasil perjuangan mereka membebaskan negara dari segala ancaman keselamatan. Fenomena ini telah banyak menjejaskan kredibiliti kerajaan sehingga keadaan ini telah diterjemahkan oleh veteran yang tidak puas hati samada dengan kefahaman sendiri atau dipengaruhi oleh golongan yang suka menangguk di air keruh sebagai satu protes di kertas undi pilihanraya-pilihanraya umum yang telah banyak memberi kredit kepada parti-parti pembangkang.

Situasi ini telah memberi satu tamparan kepada kerajaan dan menyedari penyaluran segala bentuk bantuan selama ini adalah kurang berkesan yang mana tersasar dari sasaran sebenarnya kerana tidak semua bekas tentera adalah ahli PBTM. Menyedari hakikat ini YAB Dato’ Seri Mohd Najib selaku Menteri Pertahanan waktu itu telah mengilhamkan satu inovasi kreatif ke arah penubuhan JHEV yang telah mencapai satu dekad pengoperasiannya tahun ini dan dijangka akan menunjukkan impak yang lebih positif di masa-masa mendatang.

Ekoran dari penubuhan dan keberkesanan peranan yang dimainkan oleh JHEV setakat ini dan Persatuan-persatuan Veteran yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan lewat ini telah mencetus satu soalan susulan apakah PBTM masih relevan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli mereka?. Pendapat penulis kepada soalan ini adalah ‘ya’ kerana dengan jumlah penempatan JHEV yang terhad mengikut zon dan mempunyai hanya 2 orang pegawai memang tidak mampu untuk turun padang meninjau masalah-masalah yang di hadapi oleh veteran yang berada di segenap ceruk negeri.

Penyelesaiannya ialah samada PBTM atau Persatuan-persatuan Veteran yang mewakili harus berganding bahu dan saling melengkapi antara satu sama lain sebagai mata dan telinga kepada JHEV yang mewakili zon mereka untuk sama-sama merealisasikan misi dan visi organisasi masing-masing.
Persatuan-persatuan Veteran juga tidak harus ‘beku’ dan mengharapkan bantuan JHEV semata-mata sebaliknya harus kreatif dalam menginovasikan peluang dan ruang yang terbuka dengan menjana ekonomi secara berkelumpok dengan mengambil faedah dari segala ruang dan peluang di persekitaran yang ada untuk memajukan persatuan.

Sesuatu yang harus difahami dan perlu diakui secara jujur, veteran ATM adalah masyarakat yang juga gemar dan cenderung kepada politik. Walaupun JHEV mau pun Persatuan-persatuan Veteran berjaya ‘menjinakkan’ masyarakat ini di bawah satu bumbung yang dipanggil Veteran ATM dan diberi segala macam keperluan kebajikan dan sebagainya, namun tidak bermakna sokongan/ideologi politik berpihak kepada kerajaan semata-mata.

Mereka bebas berpolitik di bawah bumbung parti yang mereka cenderung di atas alasan mereka sendiri yang jumlahnya agak tinggi dan sanggup mendedahkan apa saja rahsia perkhidmatan yang mereka sebelum ini telah bersumpah untuk menyimpan rahsia dengan seketat-ketatnya dan tidak kurang jumlahnya yang keluar berdemonstrasi di jalanan mengikut telunjuk/bersekongkol dengan ideologi yang mereka pernah tentang bergalang nyawa pada suatu masa dahulu.

Rang Undang-undang 2011

Selepas tempoh sedekad penubuhan JHEV, satu lagi anjakan bagi memperkasa kehidupan yang lebih bermakna kepada veteran ATM iaitu penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Veteran 2011. Telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada 8 Mac 2011 oleh YB Menteri Pertahanan. Peruntukan yang terkandung di dalam RUU 2011 di antaranya adalah penubuhan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK), pendaftaran Veteran ATM dan Persatuan-persatuan Veteran ATM.

RUU Veteran 2011 turut mengundang polemiknya yang tersendiri yang mana ada beberapa kumpulan daripada veteran-veteran yang bersetuju tanpa banyak soal, tidak bersetuju, dan bersetuju dengan pindaan kepada fasal-fasal tertentu. Namun begitu keputusan muktamat samada pindaan harus dilakukan atau tidak adalah bergantung kepada Kementerian yang mempunyai kuasa penuh waima untuk membatalkannya sekalipun.
Di antara fasal-fasal yang banyak diberi tumpuan tentang ketidakpuasan hati dengan RUU ini ialah:

Bahagian I- Tafsiran Veteran pada sub-para (b) “angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh Angkatan Tentera Malaysia tanpa mengira tempoh perkhidmatan”;
Bermakna jika anggota sukarela dikerah secara tetap walau satu hari ia juga akan dikira sebagai Veteran ATM. Ramai dalam kalangan veteran kurang bersetuju jika tempoh masa tidak diambil kira, dikuatiri ada anggota-anggota kerahan tetap akan mengambil kesempatan memanipulasikan kelonggaran ini semata-semata untuk menikmati keistimewaan sebagai bekas tentera. Sekurang-kurangnya tempoh masa kerahan tetap harus dipinda dan dibaca sekurang-kurangnya satu atau dua tahun. Melainkan seseorang anggota itu terpaksa ditamatkan perkhidmatan kerahan kerana sesuatu sebab yang tidak boleh dielakkan seperti masalah kesihatan dan seumpamanya.

Bahagian II Para 3(2)(e). “Majlis hendaklah terdiri daripada lima orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan atau kepakaran dalam perkara yang berhubungan dengan hal ehwal veteran yang hendaklah dilantik oleh Menteri.”

Apa yang dikehendaki oleh kumpulan ini ialah supaya menamakan dengan lebih spesifik lima orang yang dimaksudkan itu adalah dari kalangan bekas-bekas tentera sepenuhnya.
Bahagian IV Para 17- “Mana-mana persatuan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] pada tarikh Akta ini mula berkuat kuasa hendaklah terhenti daripada didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan hendaklah dalam tempoh tiga bulan selepas itu memohon kepada Pendaftar untuk didaftarkan di bawah Akta ini sebagai suatu persatuan veteran untuk menjalankan apa-apa aktiviti veteran; dan persatuan itu hendaklah terus menjalankan operasi sebagai suatu persatuan sehinggalah diberitahu sebaliknya oleh Pendaftar.”

Ada yang berpendapat dengan klausa ini bekas tentera/persatuan tiada lagi kebebasan bersuara dan meminta pindaan untuk kekal sebagai NGO tertakluk kepada akta ROS yang kononnya lebih telus dan bebas merencanakan sesuatu agenda. Ada juga suara-suara yang menyatakan bahawa cadangan asal RUU 2011 yang telah dicadangkan oleh Persatuan-persatuan Veteran seperti cadangan supaya veteran yang tidak berpencen diberi pencen bulanan tidak dimasukkan ke dalam RUU 2011.

Walaubagaimana pun segala bantahan dan ketidakpuasan hati segelintir bekas-bekas tentera terhadap RUU 2011 yang menunggu untuk dibaca kali kedua dan seterusnya di Parlimen adalah bukan mewakili semua veteran namun hakikatnya lebih ramai yang menyokong sepenuhnya dan menyerah bulat-bulat kepada kebijaksanaan Kementerian Pertahanan untuk melakukan yang terbaik demi kebaikan semua pihak. Malah lebih malang lagi kumpulan yang tidak tahu menahu langsung tentang kewujudan RUU 2011 lebih ramai daripada yang berpolemik.

Kesimpulan

Pada 29 Julai 2011 untuk kesekian kalinya telah berlangsung Majlis Pelancaran Rayuan Hari Pahlawan 2011 (RHP) yang menyaksikan pada malam tersebut telah lahir penderma-penderma budiman yang telah menghasilkan kutipan RM5.2 juta dan pihak penganjur mensasarkan tahun ini kutipan boleh mencecah RM10 juta. Suatu usaha murni JHEV yang telah mengambil alih dan menerajui program ini setahun yang lalu yang disokong oleh banyak pihak untuk menjayakan RHP yang hasilnya semata-semata untuk membina kesejahteraan Veteran ATM.

Komuniti Veteran ATM seharusnya bersyukur dan memperakukan secara jujur bahawa sumbangan dan pergorbanan mereka kepada negara sebenarnya tidak dipandang sepi atau di kesampingkan oleh pemerintah malah juga masyarakat umum berdasarkan apa yang telah disediakan seperti perbincangan di atas.

Apapun seperti kata perpatah, “Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipis tidak datang melayang”. Kejayaan mutlak harus disertai dengan usaha dan ikhtiar melainkan golongan yang ternyata kelainan upaya atau juga yang tidak berdaya kesihatannya.

Hakikatnya kuda tidak susah untuk dibawa ke air tetapi tiada siapa yang mampu memaksa kuda itu untuk minum. Budaya menyalahkan orang lain adalah bukan jalan penyelesaian untuk menutup kegagalan diri sendiri yang tidak mahu merebut peluang yang tersedia.
Banyak cara yang boleh diolah dengan kemudahan yang tersedia dipersekitaran untuk merubah sosio ekonomi keluarga. Dengan berbekalkan disiplin, jatidiri dan motivasi yang telah ditanam semasa di dalam perkhidmatan sepatutnya Veteran ATM lebih cekal berbanding orang lain di persekitaran.

Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Juga amat penting kepada veteran ATM supaya kembali bermuhasabah sejenak berfikir dengan waras, bahawa dengan segala macam pengiktirafan, keistimewaan, pemberian dan ambil peduli kerajaan kepada mereka, apakah wajar dibalas dengan tuba? PERAJURIT.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.