Kaji gaji, pencen tentera

sumber utusan
Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji dan pencen anggota tentera sedia ada supaya kerjaya itu menjadi pilihan ramai termasuk bukan Melayu.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota yang sedang berkhidmat tetapi juga bekas-bekas tentera.

Beliau berkata, sehingga kini, gaji anggota tentera masih berada pada tahap rendah menyebabkan kerjaya tentera tidak begitu diminati ramai.

“Skim gaji yang lebih tinggi itu secara tidak langsung akan membantu anggota tentera untuk menikmati kehidupan lebih baik selepas bersara nanti.

“Apa yang lebih penting, kenaikan gaji itu juga mampu menjadikan kerjaya tentera sebagai pilihan utama dan menarik lebih ramai bukan Melayu menyertai pasukan tentera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan PBTM menjelang Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini.

Sementara itu, Muhammad juga berharap kerajaan akan memberi kenaikan pencen kepada pesara tentera yang berkhidmat selama 21 tahun kerana kenaikan sebelum ini hanya membabitkan pesara yang berkhidmat melebihi 21 tahun.

“Lebih 36,000 bekas tentera yang berkhidmat genap 21 tahun juga perlu mendapat kenaikan yang setara.

“Mungkin sebelum ini kerajaan terlepas pandang dan diharapkan golongan tersebut juga diberi perhatian khusus dalam pembentangan bajet akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan perkara tersebut kerana ia memberi gambaran jasa mereka sepanjang berkhidmat sebagai anggota tentera khususnya ketika menentang komunis juga dihargai.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.