Kaji gaji, pencen tentera

sumber utusan
Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji dan pencen anggota tentera sedia ada supaya kerjaya itu menjadi pilihan ramai termasuk bukan Melayu.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota yang sedang berkhidmat tetapi juga bekas-bekas tentera.

Beliau berkata, sehingga kini, gaji anggota tentera masih berada pada tahap rendah menyebabkan kerjaya tentera tidak begitu diminati ramai.

“Skim gaji yang lebih tinggi itu secara tidak langsung akan membantu anggota tentera untuk menikmati kehidupan lebih baik selepas bersara nanti.

“Apa yang lebih penting, kenaikan gaji itu juga mampu menjadikan kerjaya tentera sebagai pilihan utama dan menarik lebih ramai bukan Melayu menyertai pasukan tentera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan PBTM menjelang Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini.

Sementara itu, Muhammad juga berharap kerajaan akan memberi kenaikan pencen kepada pesara tentera yang berkhidmat selama 21 tahun kerana kenaikan sebelum ini hanya membabitkan pesara yang berkhidmat melebihi 21 tahun.

“Lebih 36,000 bekas tentera yang berkhidmat genap 21 tahun juga perlu mendapat kenaikan yang setara.

“Mungkin sebelum ini kerajaan terlepas pandang dan diharapkan golongan tersebut juga diberi perhatian khusus dalam pembentangan bajet akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan perkara tersebut kerana ia memberi gambaran jasa mereka sepanjang berkhidmat sebagai anggota tentera khususnya ketika menentang komunis juga dihargai.

Hadiah besar anggota, veteran ATM

sumber utusan

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Peruntukan besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan hadiah paling berharga dan sememangnya dinanti-nanti golongan tersebut, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pemberian RM1,000 sebagai wang sagu hati kepada 24,000 veteran tentera yang telah bersara juga membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melupakan golongan itu berdasarkan pengalamannya yang pernah menerajui kementerian itu selama 14 tahun.

Kata beliau, pemberian itu juga melegakan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) yang membuat tuntutan itu sejak sekian lama.

“Inilah yang dirayu oleh mereka yang bertugas sebagai anggota dan pegawai ATM, keprihatinan Perdana Menteri kepada kumpulan veteran tidak dilupakan dan ini sesuatu yang tidak dijangka.

“Pemerhatian khusus kepada Askar Wataniah dan anggota simpanan Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui kenaikan elaun yang diumumkan merupakan kenaikan hampir 25 peratus kadar elaun terdahulu, sekali gus dapat menggalakkan rakyat menyertai pasukan simpanan itu.

“Ini termasuk menyamaratakan elaun yang diterima anggota polis dan tentera serta pemberian insurans berkelompok mengikut skim baru kepada kedua-dua anggota keselamatan itu, ia merupakan satu penghargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau memberi reaksi demikian ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet 2013, di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Lembaga Tabung ATM akan membiayai 50 peratus dari keseluruhan kos bayaran saguhati kepada kumpulan veteran tentera itu yang akan dibuat secara one-off.

Tambah beliau, kenaikan pangkat kepada anggota tentera merupakan satu penghargaan yang selama ini ditunggu-tunggu oleh para pegawai yang tidak dinaikkan pangkat.

“Secara keseluruhan bajet kali ini memang ditunggu rakyat kerana mengambil kira semua kumpulan masyarakat daripada golongan berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.

“Kerajaan turut mengambil kira kumpulan pelajar universiti, sekolah menengah dan rendah, prasekolah, miskin dan orang kurang upaya (OKU) turut diambil kira walaupun dikatakan bajet pilihan raya, namun inilah keprihatinan yang sentiasa diberikan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan,” katanya.

Igauan Bekas Tentera Bersama Kerajaan PR

Apa itu KERABAT?
Ringkasnya KERABAT atau Kebajikan Rangkaian  Bekas Angkatan Tentera yakni Persatuan  Bekas Tentera yang baharu tumbuh dengan menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebagai induk  untuk tempat bernaung jika PR menang dalam Pilihan Raya ke -13 (PRU 13).
Setakat ini lebih daripada 20 persatuan yang didaftarkan di atas nama bekas tentera.  Apa yang menarik KERABAT dan  KOBAT (Kor Bekas Angkatan Tentera) yang juga  Persatuan Bekas Tentera yang keahliannya terbuka kepada Bekas Tentera namun mensasarkan bekas tentera yang pro PR menjadi ahli mereka.
Bukan bermakna ahli persatuan ini mesti dari ahli parti pembangkang tetapi lumrahnya orang-orang yang cenderung untuk menyertai persatuan ini adalah penyokong PR.
Namun ianya berbeza daripada Persatuan-persatuan Veteran dari  Unit/kor ATM yang sebelum ini didaftar adalah sebagai NGO yang nutral seperti PBTM, PBTLDM, PVTUDM dan lain-lain yang mana keahliannya dari pelbagai kecenderungan dan ideologi politik.
Misi Sekretariat KERABAT Malaysia
 
1.       -Melaksanakan Skim Pemilihan Tanah Kediaman dan Pertanian berkelompok dengan pihak berkuasa setiap negeri kepada tentera, bekas tentera dan balu veteran selaras dengan kehendak Perintah Majlis ATM 1973, melalui penubuhan Bandar baru veteran dengan membina prasarana yang membantu mengekalkan ketrampilan dan kepakaran bagi diguna pakai sebagai Pusat Latihan Khidmat Negara, Latihan Kerahan, Sukarelawan dan Zon Penampan pertahanan barisan ketiga jika berlaku darurat atau peperangan.
      –   Bantuan rawatan perubatan dan perlatan pesakit secara percuma sepanjang hayat.
3.       Merancang kerjaya disektor awam dan mendapatkan peluang dan kemudahan dalam bidang keusahawanan setelah menamatkan perkhidmatan ATM.
4.       Menubuhkan Bank Koperasi Pembangunan Ekonomi Tentera dan Veteran.
5.       Memupuk dan mempromosikan kesedaran orang awam terhadap sumbangan dan pengorbanan Veteran ATM secara berterusan.
6.       Memastikan bantuan kebajikan berterusan kepada tentera dan veteran sekeluarga.
7.       Mentransformasikan urus tadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT) untuk dimanfaatkan bagi memperkasakan ekonomi dan bantuan kebajikan kepada tentera dan veteran.
Jadi, oleh kerana  KERABAT adalah anak didik PR maka tidak hairanlah mereka sudah awal-awal lagi membuat resolusi cadangan 100 hari PR memerintah. Antaranya ialah:
a.       Memperkasakan Sektretariat Kebajikan Veteran ATM (KERABAT) di bawah kelolaan Kerajaan Pusat dan Negeri. Sektretariat KERABAT ini bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan untuk mempastikan khidmat balas jasa dan kebajikan Veteran ATM dan tanggungan.
b.      Mengambilalih dan memperkemaskan Dasar dan Urustadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT).
c.       Memberikan keutamaan kepada kebajikan tentera, veteran, balu-balu dan anak-anak yatim tentera khususnya dalam pemilikan tanah Felda Plantation dan rumah Mesra Rakyat.
d.      Melaksanakan bantuan pendidikan sepanjang hayat secara percuma kepada tentera, balu tentera dan tanggungan mereka.
e.      Memberikan rebet 50% untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman kepada tentera dan bekas tentera sepanjang hayat.
f.        Pelarasan kenaikan gaji dan pencen sebanyak RM500.00 kepada semua tentera dan veteran serta imbuhan khas sebanyak RM500.00 setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.
g.       Setiap anggota tentera dan pesara tentera dikecualikan dari cukai untuk pendapatan gaji dan pencen kerajaan.
h.      Memberikan peruntukan Dana Khas dan Merancang Plan Dasar Penempatan Bandar Baru Veteran yang lengkap dengan prasarana latihan medan tempur untuk bekas tentera agar ketrampilan kepakaran semasa perkhidmatan dapat dikekalkan.

Bekas anggota 1RAMD tubuh persatuan

Sumber Utusan

Sebahagian bekas pegawai Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja.

PENGISYTIHARAN penubuhan Persatuan Bekas Warga Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (PBW1RAMD) meriah apabila lebih 1,600 bekas anggotanya hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Presiden persatuan itu, Lt. Kol. (B) Ahmad Kushairi Zainuddin berkata, kira-kira 74 tahun yang lalu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD) ditubuhkan dan ia menjadi tonggak utama kepada penubuhan batalion RAMD lain.

Menurutnya, RAMD pernah melahirkan insan ternama seperti Leftenan Datuk Adnan Saidi yang berjuang menentang kemaraan tentera Jepun di Bukit Chandu, Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

1RAMD turut berasa megah dan bangga apabila tiga anggotanya dianugerahkan pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB).

Tidak ramai anggota 1RAMD yang mengetahui bahawa salah seorang bekas Pegawai Memerintahnya iaitu Lt. Kol. (B) Datuk Abdul Hamid Ibrahim adalah Presiden Pertubuhan Veteran Sedunia yang berpusat di Paris sehingga sekarang dengan jumlah keahlian veteran seramai 35 juta mewakili 93 negara di dunia.

Semasa bertugas di Sarawak pula 1RAMD berjaya membunuh 26 pengganas komunis dan menawan berpuluh lagi dalam Ops Jala Raja.

Kejayaan itu merupakan rekod cemerlang dalam operasi yang mengambil masa penempatan selama kira-kira setahun.

Idea penubuhan persatuan itu tercetus apabila beberapa bekas anggota 1RAMD mengadakan perbincangan di Banting, Selangor pada akhir 2010.

Berikutan itu beberapa perjumpaan tidak rasmi diadakan dan kemuncaknya berlaku apabila satu perjumpaan besar-besaran diadakan di Felda Hot Springs, Trolak, Perak 29 Mac tahun lalu.

Ahmad Kushairi berkata, penubuhan persatuan itu melengkapkan lagi tugas-tugas dan fungsi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) terutama dalam menyalurkan bantuan kepada anggota yang memerlukannya.

”Dalam tempoh tiga bulan lalu persatuan telah menghulurkan bantuan berupa dua kerusi roda kepada anggotanya di Lanchang, Temerloh,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran persatuan itu di Kem Sungai Besi baru-baru ini.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, penubuhan persatuan tersebut tepat pada waktunya dan selari dengan hasrat beliau yang ingin melihat lebih banyak persatuan seperti itu ditubuhkan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan bekas anggota tentera.

Katanya, beliau juga gembira mengikuti perkembangan kewujudan persatuan itu kerana tulang belakang kepada idea penubuhan persatuan tersebut datangnya daripada peringkat bawahan iaitu Lain-Lain Pangkat (LLP) manakala bekas pegawainya pula melengkap dan merealisasikan kewujudannya.

“Bayangkanlah jika semua 25 batalion RAMD mempunyai persatuan masing-masing sudah pasti suara mereka sentiasa didengari dan dihormati.

“Saya sangat memahami bahawa sebahagian besar ahli-ahli persatuan ini sama ada kumpulan pengurusan atasan mahupun bawahan terdiri daripada mereka yang diklasifikasikan sebagai warga emas.

“Namun begitu usia lanjut tidak bererti reput minda, tambahan pula bekas 1RAMD pernah diasuh dengan disiplin yang sangat tinggi,” ujarnya.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 individu terpilih sebagai tanda penghargaan tinggi kerajaan kepada mereka yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara.

Ahmad Zahid turut menasihatkan ahli persatuan itu merebut peluang pelbagai kursus yang diberikan kepada bekas anggota tentera dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing agar kehidupan mereka lebih selesa.

“Saya yakin bekas anggota tentera mampu mencapai bidang diceburi selagi mereka mengamalkan semangat kesungguhan bekerja dan berdisiplin tinggi,” katanya.

Sementara itu, bekas anggota 1RAMD, Ujang Mormin, 91, berkata, ketika Allahyarham Datuk Leftenan Adnan Saidi mengetuai pertempuran dengan Jepun di Bukit Chandu, Singapura, 70 tahun lalu, beliau turut bermati-matian bertempur dengan musuh di Bukit Gap bagi mempertahankan kubu terakhir Tanah Melayu.

Beliau yang menerima PJM pada majlis itu dipercayai antara perajurit yang terlibat dalam pertempuran dengan tentera Jepun bagi mempertahankan kubu terakhir tentera British di Singapura pada 1942.

KVKM sambut ulang tahun ke-25

Sumber utusan

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KEWUJUDAN Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) bukanlah semata-mata atas dasar suka-suka atau ‘syok sendiri’. Sebaliknya, kelab berkenaan ditubuhkan bertujuan membantu dari segi kebajikan bekas anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) atau lebih sinonim dengan gelaran komando.

Presidennya, Leftenan Kolonel (B) Nik Omar Al Haded Nik Mohamed Salleh berkata, kelab berkenaan berfungsi memberi bantuan kepada bekas ahli RGK bukan sekadar dari aspek kewangan tetapi juga tenaga.

Katanya, kelab yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu itu mungkin tidak mampu memberi keselesaan kepada setiap bekas anggota RGK tetapi, beliau sebagai peneraju akan berusaha sebaik mungkin membela nasib ahli-ahlinya.

“Kelab ini sudah pun berusia 25 tahun dan saya percaya sejak ia ditubuhkan, bekas-bekas anggota komando banyak mendapat manfaatnya.

“Kami mungkin tidak begitu popular tetapi kami sebenarnya sentiasa bergerak dan menjalankan aktiviti yang membantu bekas-bekas komando. Antaranya seperti pemberian sumbangan dan bantuan-bantuan lain yang melibatkan tenaga fizikal.

“Seperti baru-baru ini, rumah seorang bekas komando rosak kerana dilanda banjir teruk, kami sebagai kelab yang menjaga kebajikan ahli serta bekas anggota sanggup turun padang bersama-sama membantu membaiki apa yang rosak, membersih apa yang kotor,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumah KVKM baru-baru ini.

KVKM ditubuhkan pada 18 April 1987 dengan objektif mahu menjaga kebajikan bekas anggotanya setelah tamat tempoh perkhidmatan.

Sejak ditubuhkan 25 tahun lalu, kelab berkenaan terus berkembang ke setiap negeri sehinggalah berjaya diperluaskan ke seluruh Semenanjung tanah air.

Menurut Nik Omar, memandangkan tahun ini genap 25 tahun penubuhannya, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk meraikan sambutan jubli perak kelab itu.

“Kami telah merancang pelbagai aktiviti sempena sambutan jubli perak kelab. Antaranya ialah Hari Keluarga di mana semua ahli kelab berkumpul dan berkampung di Kem Sungai Udang, Melaka yang merupakan ‘rumah’ kepada anggota komando pada 20 dan 21 April lalu bagi meraikan enam anggota perintis komando yang masih hidup.

“Selain itu, ada juga beberapa aktiviti lain seperti kejohanan golf amal yang antara lainnya bertujuan merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli kelab. Acara kemuncak kepada sambutan Jubli Perak KVKM pula adalah majlis makan malam bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad” jelasnya.

Bagaimanapun, Nik Omar masih kecewa dengan penyertaan bekas-bekas komando dalam kelab berkenaan.

Katanya, masih ramai lagi bekas-bekas anggota RGK tidak mendaftar sebagai ahli dan menggesa mereka berbuat demikian agar memudahkan kelab menyalurkan bantuan atau sumbangan sekiranya memerlukan.

“Saya berharap lebih ramai lagi bekas-bekas komando akan mendaftar dengan kelab. Sukar bagi kami untuk menjejaki bekas-bekas komando yang berada dalam kesusahan khususnya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak.

“Jadi, daftarlah supaya kami boleh menyalurkan sebarang bantuan atau sumbangan sekiranya keadaan memerlukan,” ujarnya.

Nik Omar memberitahu, bekas-bekas komando yang masih belum mendaftar dan mahu mendapatkan lebih maklumat mengenai kelab serta aktiviti yang dijalankan boleh terus menghubungi talian 012-6380697.

Majlis makan malam KVKM bersama dr. Mahathir

Dalam pada itu, Nik Omar menjemput semua ahli KVKM termasuklah bekas-bekas presiden terdahulu kelab supaya hadir pada majlis makan malam bersama penaung kelab berkenaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Jun ini di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Katanya, majlis makan malam tersebut dianjurkan bagi meraikan veteran-veteran komando yang telah berkhidmat di dalam RGK dari 1965 hingga ke 1970.

“Selain daripada kumpulan tersebut, mereka yang akan diraikan ialah ahli-ahli veteran komando yang mendapat kecederaan kekal semasa peperangan menentang pengganas komunis.

“Kelab juga akan menjemput anak-anak yatim dari asrama yang berdekatan dengan Kuala Lumpur untuk ke majlis itu,” katanya.

Menurut Nik Omar, ahli yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai majlis makan malam tersebut boleh menghubungi talian sama iaitu 012-6380697.

Sekitar Mesyuarat Agong PBTM Kubang Pasu

Persatuan Bekas Tentera  Malaysia (PBTM) Cawangan Kubang Pasu Kedah telah mengadakan Mesyuarat Agong Kali ke 27 pada 19 Mei 2012 lalu dengan jayanya dengan kehadiran ahli-ahli seramai lebih daripada 300 orang.  Meski pun jumlah ini belum pun mencecah suku daripada jumlah keahlian sebenar, namun  perjumpaan ini boleh dianggap berjaya kerana jumlah kehadiran telah memenuhi ruang  Dewan Mahsuri Taman Siswa Bandar Darul Aman  Jitra.

Mesyuarat Agong ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Wira Mohd Johari bin Haji Baharom,  Timbalan Menteri  Pertanian dan Industri  Asas Tani.

Dalam ucapan perasmian, beliau menggalakkan semua veteran tentera mengemukakan segala masalah yang mana kementerian beliau mempunyai kaedah tertentu untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan.  Beliau juga  memberi jaminan akan memanjangkan kepada agensi-agensi yang berkaitan jika ianya tidak ada kaitan dengan kementeriannya  kerana beliau sedar pengorbanan veteran tentera cukup tinggi dalam menyediakan keamanan negara seperti yang dikecapi hari ini.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan Pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu yang akan menerajui PBTM Cawangan ini untuk sesi 2012-2015. Namun begitu  Ketua Cawangan Kapt  Yusof bin Hj Yaacob merangkap  YDP PBTM Bahagian Negeri Kedah kekal kerana tiada pencabar.

Dato’ Jo rakan akrab PBTM Kubang Pasu

Masih diberi mandat untuk menerajui Persatuan bagi sesi seterusnya

Haji Ahmad pengacara yang suka berpantun

En Hariff Nor menceritakan produk RHB yang boleh dimanfaatkan oleh Veteran tentera.

Tn Hj Saad Hasan mengisi slot PERHEBAT

Kehadiran yang tidak mengecewakan

Serikandi PBTM Kubang Pasu

Dato Jo menyampaikan cek sumbangan peribadi beliau untuk PBTM

Mesyuarat Agong PBTM Kubang Pasu ke 27

Dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut akan diadakan pada 19 Mei 2012 jam 0800H bertempat di Dewan Mahsuri, Taman Siswa, bandar Darul Aman Jitra Kedah.

Semua Ahli dijemput hadir.  Sila bawa bersama kad ahli untuk pendaftaran.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.